Archive for August, 2007

Solat khusyuk jiwa tenang

Friday, August 31st, 2007

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

Dalam al-Quran ada lebih 25 tempat ayat yang merujuk kepada makna perintah mengerjakan atau mendirikan solat manakala perkataan solat itu sendiri lebih 70 kali disebut, menunjukkan betapa pentingnya ibadat berkenaan.

“Kemudian apabila kamu selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu berasa tenteram maka dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (An-Nisa’: 103)

Kesedaran umat Islam semakin meningkat kerana boleh dikatakan semua tahu bersolat, sama ada secara berjemaah atau bersendirian.

Tinggal lagi, kadang-kadang solat yang dilakukan tidak khusyuk, malah terlewat waktu dan tertinggal disebabkan alpa dengan urusan masing-masing dan kurang prihatin terhadap tuntutan agama.

Mungkin disebabkan jahil mengenai hikmah dan keistimewaan solat membuatkan sesetengah pihak memandang ringan tuntutan pelaksanaan ibadat itu, kurang tertarik terhadapnya.

Imam Besar Masjid Negara, Datuk Syaikh Ismail Muhammad, berkata solat sangat dituntut dalam Islam, kerana menjadi tiang agama dan ia membezakan di antara Muslim dan kafir.

Malah, ibadat itu amalan pertama disoal di alam kubur dan sekiranya individu itu dapat menjawab dengan baik persoalan solat, dipermudahkan lagi persoalan lain.

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Amal pertama akan dihisab bagi seseorang hamba di hari akhirat ialah solatnya. Jika solatnya baik, maka baiklah segala amalannya yang lain. Dan jika solatnya rosak, maka binasalah segala amalannya yang lain.” (Thabrani)

Syeikh Ismail menegaskan, banyak keistimewaan mereka yang memelihara solat, umpamanya terasa seperti berada dekat dengan Allah dan disayangi-Nya, malah dipermudahkan segala dihajati walaupun tidak dikabulkan segera.

“Orang yang mengerjakan solat bukan saja diberikan ganjaran baik, malah mendapat keberkatan dalam kehidupan, berasa lapang dan jika ada isteri, tidak memberikan masalah, malah anak-anak berkelakuan baik.

“Tetapi bagi yang tidak solat hati tidak tenteram, diri berasa seperti berhutang, kerana tidak melaksanakan tuntutan Allah,” katanya.

Aspek keberkatan ini sesuai dengan penegasan Allah di dalam surah al-Mukminun, ayat 1-2, bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.”

Katanya, Rasulullah s.a.w apabila ada masalah akan melakukan solat sunat dan ia sangat baik dijadikan contoh bagi umat Islam sebagai amalan penyejuk hati.

Solat sebenarnya ibadat paling agung yang dapat meningkatkan seseorang untuk sentiasa mengingati Allah, sebagaimana dijelaskan dalam surah Thaaha, ayat 14, bermaksud: “Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan Aku, oleh itu sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.”

Ibadat itu juga dapat menghapuskan dosa, sebagaimana difahami dalam satu hadis bermaksud: “Dari Abi Hurairah r.a., sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat-solat itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar.” (Riwayat Muslim)

Syaikh Ismail berkata, solat dilakukan dengan khusyuk juga mencegah orang yang melakukannya daripada kemungkaran.

“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Al-Ankabut: 45)

Katanya, untuk mendapatkan solat yang khusyuk seseorang itu perlu mengelak daripada hasutan syaitan dan memberikan tumpuan penuh ketika melaksanakan ibadat berkenaan.

“Memanglah, apabila solat pasti syaitan datang menggoda kita, tetapi kita jangan layan. Sebab itu, antara kebaikan bagi mendatangkan khusyuk ialah kita mengetahui maksud bacaan kita dalam solat,” katanya.

Beliau menjelaskan, sekiranya perkara buruk masih juga berlaku, menunjukkan solat yang dilakukan individu terbabit tidak dapat mendidik dirinya kerana lazimnya mereka mengerjakan solat dengan baik malu melakukan perkara buruk.

“Jika masih berlaku benda buruk yang tidak sepatutnya, individu terbabit kenalah bermuhasabah semula, cuba perbaiki lagi solat, biar ia sebati dengan diri, barulah iman meresap balik dan paling penting kena ada istiqamah,” katanya.

Katanya, solat fardu tidak boleh ditinggalkan, sebaliknya wajib dikerjakan dalam apa keadaan sekalipun, sama ada berdiri dan jika tidak berkuasa dengan cara duduk, berbaring serta isyarat dan hati.

“Mereka yang tidak solat, tetapi masih mempunyai kemewahan, harta berlimpah ruah, malah cakap juga besar itu dipanggil istidraj, iaitu dihulurkan juga rezeki oleh Allah tetapi sampai satu masa jika dikehendaki Allah ditarik rezekinya,” katanya.

Ayat 132, surah Thaaha, bermaksud: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu, dan (ingatlah!) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”

Sumber: Harian Metro

Panduan Solat Qasar Dan Jama

Friday, August 31st, 2007

Penerangan solat qasar dan jama’ adalah seperti berikut:

1.0 Solat Qasar

1.1 Takrifan

Solat Qasar adalah mengqasarkan (memendekkan) solat yang empat rakaat iaitu Zuhur, Asar dan Isya’ kepada dua rakaat sementara solat Maghrib dan solat Subuh tidak bolehdiqasarkan.

1.2 Hukum Qasar

Harus berdasarkan kepada dalil berikut:

i.Al-Quran surah al-Nisa’ ayat 101 yang bermaksud;
“Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) solat jika kamu takut diserang oleh orang kafir…”

ii. Al-Sunnah yang bermaksud;

‘Ya’la bin Umayyah pernah bertanya kepada Umar bin al- Khattab, “Kenapa kita perlu mengqasarkan solat sedangkan kita berada dalam keamanan?” Lalu beliau menjawab, “Aku telah bertanya kepada Nabi s.a.w., dan Baginda bersabda, solat qasar itu adalah sedekah yang Tuhan telah bersedekah kepadamu, maka terimalah sekalian kamu akan sedekah- Nya”
(Riwayat al-Nasa’i dan Abu Daud)

1.3 Jarak Dibenarkan Qasar

Dua marhalah iaitu empat burudin di mana setiap burudin mempunyai empat farsakh dan setiap farsakh terdiri daripada 5514 meter mengikut kiraan moden. Dari itu, dua marhalah adalah bersamaan 89 kilometer.

1.4 Syarat Solat Qasar

i. Hendaklah pelayaran atau perjalanan itu diharuskan oleh syara’.

ii.Jauh pelayaran atau perjalanan itu tidak kurang daripada dua marhalah (89 kilometer / 56 batu).
iii.Berniat qasar di dalam takbiratul ihram.
iv.Tidak berimam dengan orang yang solat tamam (sempurna).
v.Hendaklah solat yang diqasarkan itu terdiri dari solat empat rakaat.

1.5 Contoh Niat

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat Qasar kerana Allah Taala)

2.0 Solat Jama’

2.1 Takrifan

Solat Jama’ terbahagi kepada :

i. Jama’ Taqdim iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Zuhur atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Maghrib.

ii.Jama’ Ta’khir iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Asar atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Isya’.
2.2 Syarat Solat Jama’

2.2.1.Solat Jama’ Taqdim

i.Hendaklah bersolat secara tertib iaitu mendahulukan solat Zuhur daripada solat Asar dan solat Maghrib daripada solat Isya’.
ii.Hendaklah niat Jama’ Taqdim di dalam solat pertama sebelum salam tetapi yang afdhalnya di dalam takbiratul ihram.
iii.Berturut-turut di antara solat yang dijama’kan itu.
iv.Berkekalan pelayaran atau perjalanan itu hingga takbiratul ihram solat yang kedua.
v.Berkeyakinan adanya waktu solat yang pertama (Zuhur atau Maghrib) berkekalan sehingga didirikan solat yang kedua (Asar atau Isya’).
2.2.2. Solat Jama’ Ta’khir

i.Hendaklah berniat jama’ dalam waktu pertama iaitu Zuhur atau Maghrib.
ii.Berkekalan pelayaran atau perjalanan hingga memberi salam solat yang kedua.
2.3 Contoh Niat

2.3.1 Jama’ Taqdim

i.Jama’ Taqdim Empat Rakaat

أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala)

ii.Niat Jama’ Taqdim Beserta Qasar

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala)

2.3.2 Jama’ Ta’khir

i.Jama’ Ta’khir Empat Rakaat

أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan kepada Asar tunai kerana Allah Taala)

ii. Niat Jama’ Ta’khir Beserta Qasar

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan kepada Asar tunai kerana Allah Taala)

Doa selepas solat

Wednesday, August 8th, 2007


doa1.gif

Ertinya:
“Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha
Penyayang segala puji bagi Allah Tuhan Pentadbir seluruh
alam. Pujian yang melengkapi nikmat-Nya, dan pujian yang
menambahkan kelebihan-Nya, wahai Tuhan kami, bagiMu
segala puja-puji sebagaimana patut kerana kebesaran
zatMu dan agung kekuasaanMu”

 doa2.gif

Ertinya:
“Ya Allah! Tolonglah kami supaya ingat kepadaMu,
syukur kepadaMu dan elok ibadah kepadaMu.”


doa3.gif

Ertinya:
“Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari kesusahan
dan kedukaan. Aku berlindung kepadaMu dari lemah
kemahuan dan kemalasan.Aku berlindung kepadaMu dari
sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepadaMu
dari banyak hutang dan kezaliman manusia.”


doa4.gif

Ertinya:
“Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha
Mengasihani, segala puji adalah semata-mata untuk Allah,
Tuhan Pemerintah alam. Selawat dan salam adalah untuk
junjungan besar semulia-mulia Nabi dan Rasul dan begitu
juga ke atas keluarga serta sahabat baginda kesemuanya.

Ya Allah! Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami
memohon supaya Engkau memelihara kami. KepadaMulah kami
pertaruh agama kami. Ahli keluarga kami, harta-harta
kami. Ya Allah, jadikanlah kami dan mereka itu di dalam
pemeliharaan, perlindungan, keamanan dan penjagaanMu
daripada semua syaitan, dan yang mempunyai mata yang
mempunyai kedengkian dan yang mempunyai kejahatan.
Sesungguhnya Engkau di atas tiap-tiap sesuatu itu Maha
Berkuasa.”


doa5.gif

Ertinya: 
“Ya Allah! Perbaikilah perdamaian kami dan lembutkan
antara hati-hati kami dan tunjukkan kami jalan
keselamatan dan lepaskan kami daripada kegelapan kepada
cahaya dan jauhkan kami daripada sebarang kejahatan
samada yang terang atau yang tersembunyi. Ya Allah,
berkatilah pada pendengaran dan penglihatan kami dan
hati-hati kami dan isteri kami dan keturunan kami dan
berilah kami taubat, sesungguhnya Engkau Maha Memberi
taubat lagi Maha Penyayang dan jadikanlah kami syukur di
atas nikmat-nikmatMu, memuji dengan nikmat pemberianMu
menerima dengan pemberian akan nikmatMu dan sempurnakan
nikmatMu ke atas kami.”


doa6.gif

Ertinya :
“Ya Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebajikan
dunia dan kebajikan di akhirat dan pelihara kami
daripada azab neraka. Rahmat Allah ke atas penghulu kita,
Nabi Muhammad (S.A.W) ke atas keluarga dan para sahabat
semuanya. Maha Suci Tuhanmu, Tuhan yang mempunyai sifat
kemuliaan daripada apa yang mereka gambarkan. Dan,
kesejahteraan ke atas segala Rasul dan segala puji
semata-mata untuk Allah yang memerintah sekelian alam.”

Sumber: http://nurjeehan.wordpress.com/2007/02/15/doa-selepas-solat/